Kejayaan pasukan perubatan HWKKS bukti Sabah miliki kepakaran perubatan bertaraf tinggi – Masidi

KOTA KINABALU: Kejayaan pasukan perubatan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) melaksanakan pembedahan kompleks ke atas bayi kembar siam membuktikan Sabah memiliki kepakaran perubatan bertaraf tinggi yang mampu berdiri setanding dengan pusat perubatan terbaik di negara ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kejayaan itu menjadi bukti bahawa anak tempatan mempunyai bakat dan keupayaan untuk melaksanakan prosedur pembedahan yang rumit apabila diberikan peluang dan kepercayaan.

“Kejayaan ini membuktikan kita mempunyai bakat dan kepakaran di Sabah untuk melaksanakan pembedahan yang sangat sukar.

“Apabila diberi peluang, kita mampu melakukan perkara yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan kepada pasukan perubatan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah yang menjayakan pembedahan bersejarah itu di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Turut hadir pembantu menteri kewangan, Datuk Sr. Mohd Ishak Ayub dan Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Dr Yogendra A/L Panchalingam serta Ketua Jabatan Pembedahan Pediatrik HWKKS, Dr Hazlina Mohd Khalid.

Masidi berkata, beliau turut mengikuti perkembangan kejayaan berkenaan menerusi laporan media dan media sosial yang dipenuhi dengan pelbagai komen positif daripada seluruh negara.

Menurutnya, kejayaan pasukan yang diketuai Dr. Hazlina itu bukan sahaja mengharumkan nama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan sistem kesihatan di negeri ini.

“Saya membaca komen daripada seluruh negara, termasuk di akhbar dan media sosial.

“Begitu banyak pujian diberikan terhadap apa yang telah dilakukan oleh pasukan ini.

“Terima kasih kepada Dr. Hazlina dan seluruh pasukan kerana berjaya melaksanakan satu pembedahan yang bukan sahaja amat sukar, malah sangat berisiko,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pembedahan itu terpaksa dilakukan lebih awal berikutan salah seorang bayi mengalami komplikasi jantung yang memerlukan rawatan segera.

Masidi(tengah) mengambil gambar kenangan bersama semua ahli pasukan pembedahan kembar siam dari HWKKS di sini.

Katanya, kejayaan itu wajar dijadikan titik tolak untuk terus memperkukuh kepakaran dan mutu perkhidmatan kesihatan di Sabah.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan doktor, pakar bius, jururawat dan semua petugas yang terlibat.

“Rakyat Sabah akan sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan anda.

“Mudah-mudahan kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh lagi kepakaran perubatan di negeri ini,” tambahnya.