KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ketika mencuci bot di Kampung Batu Putih di sini semalam ditemukan meninggal dunia kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian awal pagi tadi.
Mangsa, Rusli Mardin, 57, ditemukan oleh orang awam pada jam 4.45 pagi sebelum pasukan penyelamat dipanggil ke lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang semalam.
Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari BBP Kinabatangan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 42 kilometer dari balai dan tiba pada jam 7.10 malam.
“Sebaik tiba, pasukan bomba dimaklumkan mangsa dipercayai dibaham seekor buaya ketika menjalankan aktiviti mencuci bot bersama anaknya.
“Anak mangsa yang menyaksikan kejadian memaklumkan dia melihat bapanya disambar reptilia itu sebelum mangsa hilang dari pandangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
Bagaimanapun, katanya, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan gelap yang menyukarkan pencarian dan disambung semula pada pagi Sabtu.
“Ketika operasi hari kedua, pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam bahawa mangsa telah ditemukan pada jam 4.45 pagi.
“Mayat mangsa dijumpai kira-kira 500 meter ke hilir sungai dari lokasi dia dibaham buaya. Pemeriksaan mendapati anggota badan mangsa masih lengkap, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan,” katanya.
Suriyadi berkata, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mayat mangsa dari tebing sungai ke rumah keluarga sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi selepas kawasan disahkan selamat.