KOTA KINABALU: Bayi kembar siam yang berjaya dipisahkan menerusi pembedahan kompleks di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) menunjukkan perkembangan positif apabila bayi pertama dilaporkan semakin pulih, manakala bayi kedua masih menerima rawatan rapi.
Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS), Yogendra A/L Panchalingam berkata, pihak hospital tetap optimis dan berharap kedua-dua bayi akan terus menunjukkan perkembangan yang positif.
“Bayi pertama menunjukkan perkembangan yang baik selepas pembedahan.
“Namun, bayi kedua masih belum berada dalam keadaan yang sama dan masih menerima rawatan rapi dengan bantuan pernafasan.
“Kami terus berharap kedua-dua bayi akan pulih sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan Kerajaan Negeri kepada pasukan perubatan yang menjayakan pembedahan pemisahan bayi kembar siam di HWKKS yang berlangsung di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.

Katanya, usaha itu melibatkan kepakaran daripada pelbagai unit termasuk pakar pembedahan pediatrik, bedah saraf, pembedahan plastik, radiologi, makmal, jururawat serta pakar dari Kuala Lumpur yang dibawa khas bagi membantu operasi tersebut.
“Saya masih ingat Dr. Grace merupakan individu pertama yang memaklumkan kepada saya mengenai keperluan mendapatkan dana bagi membawa pakar bius dari Kuala Lumpur untuk membantu pembedahan ini.
“Selepas itu, seluruh pasukan mula digerakkan. Kebetulan ketua kepada salah seorang pakar berada di Sabah atas urusan persidangan atau kursus, sekali gus memudahkan penyelarasan.
“Pasukan yang terlibat merangkumi jururawat, unit radiologi, pakar bedah kanak-kanak, pasukan bedah saraf yang diketuai Dr. Zul, pasukan bedah plastik, petugas makmal dan ramai lagi,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pembedahan berkenaan.
“Kami berharap kedua-dua bayi terus menunjukkan perkembangan positif dan kepakaran yang dibangunkan melalui pembedahan ini dapat terus diperkukuh demi manfaat lebih ramai pesakit pada masa akan datang,” ujar beliau.

Terdahulu, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam jenis Pygopagus buat pertama kali di Sabah.
Pembedahan yang berlangsung pada 2 Julai lalu itu melibatkan pasangan bayi perempuan pramatang berusia 28 hari dari kawasan pedalaman Sabah yang bercantum di bahagian tulang belakang (sacrum), saluran neural, bahagian bawah sistem pencernaan serta alat kelamin.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pembedahan tersebut perlu dilakukan lebih awal berbanding kebiasaan iaitu pada usia empat hingga enam bulan kerana salah seorang bayi mengalami masalah jantung dan kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan segera.
Kejayaan itu turut membolehkan Sabah menawarkan rawatan kepakaran bagi kes anomali kongenital kompleks tanpa perlu merujuk pesakit ke hospital di Semenanjung, sekali gus mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang ditanggung keluarga.