Dua pemandu mabuk dicekup dalam Op Mabuk di Penampang

PENAMPANG: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Bundusan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati memandu melebihi had alkohol yang ditetapkan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.

“Operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad bersama sepasukan pegawai dan anggota trafik.

“Dalam operasi berkenaan, seramai 62 individu diperiksa membabitkan 58 kenderaan dan polis turut mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi mengesan serta membendung pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.