Remaja lelaki lemas ketika mandi-manda di sungai

PAPAR: Kegembiraan seorang remaja lelaki mandi-manda bersama rakan di sungai berhampiran Kaiduan Luluba Eco-Tourism, di sini, berakhir tragedi apabila ditemukan lemas, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera dari BBP Papar dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai dan tiba pada jam 1.10 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan mangsa, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, sudah ditemui oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

“Pasukan kemudian segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang,” katanya.