KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar subsidi diesel bagi memastikan pengusaha pelancongan di Sabah tidak terus menanggung peningkatan kos operasi yang boleh menjejaskan kelangsungan industri itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pengusaha pelancongan khususnya di kawasan pulau dan destinasi luar bandar amat bergantung kepada diesel untuk menggerakkan bot pelancong, menjana bekalan elektrik serta memastikan operasi harian berjalan lancar.
Beliau berkata, sekiranya tiada penyelesaian segera diberikan, ramai pengusaha berisiko berdepan tekanan kewangan yang serius sehingga terpaksa mengurangkan operasi, memberhentikan pekerja malah menutup perniagaan seperti yang pernah berlaku ketika pandemik COVID-19.
“Kita tidak boleh membiarkan industri yang sedang bangkit semula selepas pandemik kembali terjejas hanya kerana kos operasi yang semakin membebankan.
“Ini bukan sekadar soal subsidi diesel.
“Ini adalah soal kelangsungan ekonomi negeri, kelangsungan ribuan perusahaan tempatan serta mata pencarian ratusan ribu rakyat Sabah yang bergantung secara langsung dan tidak langsung kepada industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jafry berkata, sektor pelancongan merupakan antara tonggak utama ekonomi Sabah dengan menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
Menurutnya, industri itu turut menjana hasil tahunan sekitar RM13.7 bilion selain menyediakan kira-kira 387,600 peluang pekerjaan atau lebih 22 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Sabah.
Dalam pada itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil kira realiti geografi Sabah serta keunikan operasi industri pelancongan negeri dengan memperkenalkan mekanisme subsidi diesel yang lebih adil, fleksibel dan bersasar kepada pengusaha yang benar-benar layak.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan sektor pelancongan terus berdaya saing dan tidak kembali berdepan krisis seperti ketika pandemik.
“Melindungi industri pelancongan hari ini bermakna melindungi ekonomi Sabah untuk masa depan.
Keputusan yang dibuat sekarang akan menentukan sama ada industri ini terus berkembang atau kembali berdepan krisis yang pernah kita lalui ketika pandemik COVID-19,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri akan terus membawa suara pemain industri kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal mampan serta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.