RM20 juta projek naik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu sokong perindustrian Zon Perdagangan Bebas POIC

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju terhadap cadangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk melaksanakan projek naik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu dengan kos RM20 juta sebagai sokongan bagi merealisasikan Taman Perindustrian POIC Sabah Sdn Bhd sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ) pertama di Sabah.

Menurut Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, perkara itu didedahkan MOT dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan yang dikemukakannya dalam Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kementerian itu memberitahu, penaiktarafan Lapangan Terbang Lahad Datu akan menggunakan peruntukan Dana Pembangunan Lapangan Terbang (Airport Development Fund – ADF).

“Menurut MOT lagi, projek ini dijangka meningkatkan kapasiti dan kemudahan lapangan terbang berkenaan bagi menyokong aktiviti perindustrian dan perdagangan di POIC Lahad Datu,” katanya.

Madius yang juga Pengerusi POIC Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Terdahulu dalam soalannya beliau meminta MOT menyatakan sejauh mana keseriusan kerajaan merealisasikan Taman Perindustrian POIC Sabah Sdn Bhd sebagai FTZ, khususnya dalam aspek logistik, pengangkutan udara dan naik taraf lapangan terbang.

“Kementerian itu memaklumkan, kerja-kerja naik taraf Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) juga telah diluluskan dan dijangka siap menjelang 2027, dengan kapasiti pengendalian kontena ditingkatkan kepada 1.25 juta TEU.

“Peralihan pengurusan dan operasi pelabuhan itu kepada DP World pada 2024 turut meningkatkan kecekapan pengendalian pelabuhan berkenaan.

“Selain itu, MOT turut mendedahkan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) bernilai RM442.30 juta yang dibiayai melalui inisiatif pembiayaan swasta oleh MAHB telah diluluskan pada 8 November 2024.

“MAHB turut akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah sebagai rakan strategik membangunkan semula Terminal 2 LTAKK sebagai hab logistik udara dan kargo,” ujar Madius.

Dalam pada itu, Madius merakamkan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan MOT terhadap POIC.

“Saya berharap segala komitmen yang diberikan khususnya dalam penaiktarafan kemudahan logistik ini akan dapat dilaksanakan segera seterusnya disiapkan mengikut perancangan sekali gus merealisasikan FTZ pertama di POIC Lahad Datu yang akan merancakkan sektor perindustrian dan pembuatan wilayah Sabah.