Bayi perempuan ditemukan dalam semak, polis kesan ibu kandung

TAWAU: Seorang bayi perempuan ditemukan ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, berkata bayi itu ditemukan seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum dia menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tawau bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan atau meninggalkan kanak-kanak.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti ibu kandung bayi serta individu yang bertanggungjawab dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengesan saksi yang boleh membantu siasatan selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian, jika ada.

Katanya, semakan juga sedang dilakukan dengan Hospital Tawau dan klinik kesihatan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Wilynton turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak pantas membantu menyelamatkan bayi berkenaan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan polis.