Hospital Ranau dinaik taraf, kerajaan perkasa rawatan luar bandar

KOTA KINABALU: Projek penaiktarafan Hospital Daerah Ranau kini memasuki fasa mengenal pasti tapak bagi pembinaan blok klinikal baharu, sekali gus dijangka meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar terutama di Paginatan.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, projek itu adalah antara usaha kerajaan memperkukuh sistem penyampaian kesihatan kepada masyarakat yang bergantung kepada kemudahan kesihatan berhampiran.

Katanya, selain menaik taraf Hospital Ranau, kerajaan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut melaksanakan pendekatan hospital kluster bagi mengatasi kekurangan doktor dan petugas kesihatan di kawasan pedalaman.

“Menerusi pendekatan ini, beberapa hospital dan klinik berhampiran yang mempunyai kepakaran serta bukan kepakaran digabungkan bagi membolehkan perkongsian sumber manusia, kepakaran dan fasiliti kesihatan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Langkah ini membantu memastikan penduduk luar bandar terus menerima perkhidmatan kesihatan berkualiti walaupun berdepan kekangan tenaga kerja,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Haji Rusdin @ Musidi Riman (Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, penduduk Paginatan juga boleh mendapatkan rawatan di Klinik Desa Bongkud, Klinik Desa Matupang, Klinik Desa Nalapak, Klinik Desa Narawang dan Klinik Desa Tampios sebagai alternatif bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan), Rina berkata, kerajaan negeri mempunyai pangkalan data lengkap bagi mengenal pasti daerah yang menjadi kluster pelbagai penyakit di Sabah.

Katanya, data itu merangkumi penyakit seperti buah pinggang dan tuberkulosis (tibi), selain maklumat mengenai keperluan mesin serta peralatan di setiap hospital daerah.

“Semua keperluan yang dikenal pasti sebagai kritikal diberi keutamaan tinggi supaya tindakan susulan dapat dipercepatkan dan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sabah terus dipertingkatkan,” katanya.