KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng peruntukan pembinaan sebuah dewan bernilai kira-kira RM2 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2022 membabitkan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di Sabah.
“Suspek dipercayai telah mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan itu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan berkenaan,” menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan atau kepentingan.
Mohd Fuad berkata, suspek dijangka akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis.