SMJ Energy sumbang RM89.46 juta kepada Sabah, perkukuh hasil negeri

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJE) terus menunjukkan prestasi terbaiknya apabila menyumbang sebanyak RM89.461 juta kepada Kerajaan Negeri untuk memperkukuh hasil negeri dan menyokong agenda pembangunan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sumbangan itu merangkumi pembayaran dividen, Cukai Jualan Negeri (SST) serta sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJE, Datuk Dionysia Kibat, dalam satu majlis hari ini.

Menurut beliau, prestasi kewangan mampan yang dicapai SMJE membuktikan kejayaan syarikat itu dalam melaksanakan mandat kerajaan negeri untuk meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.

“Pada masa sama, SMJE turut mengurus aset strategik negeri secara berhemah demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat Sabah,” katanya dalam satu hantaran milik Facebook rasminya, pada Selasa.

Hajiji berkata, selain menyumbang kepada hasil negeri, SMJE turut menunjukkan komitmen terhadap pembangunan modal insan dan kebajikan masyarakat menerusi sumbangan CSR.

Beliau turut memaklumkan syarikat itu menyalurkan RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah bagi menyokong pembangunan pendidikan, selain RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah bagi membantu usaha kebajikan di negeri ini.

“Sumbangan ini mencerminkan iltizam SMJE dalam menyokong pembangunan modal insan serta memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat Sabah,” ujar beliau.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan pengurusan sumber strategik Sabah agar hasil yang dijana dapat dimanfaatkan secara optimum untuk memacu pembangunan, memperkasa ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pencapaian SMJE membuktikan penyertaan aktif Sabah dalam industri minyak dan gas bukan sahaja mampu meningkatkan hasil negeri, malah turut memberi impak langsung kepada pembangunan sosioekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.