Tapak baharu sedang diteliti untuk pembinaan Pusat Pemulihan Kebajikan Putatan – Julita

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan Pusat Pemulihan Kebajikan di daerah Putatan kini dalam proses penilaian semula selepas tapak asal didapati tidak sesuai berikutan kos penimbusan tanah yang tinggi.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Julita Majungki berkata, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) melalui Pejabat Kebajikan Putatan telah mengemukakan permohonan tapak baharu kepada agensi berkaitan bagi tujuan pembangunan pusat berkenaan.

“Berhubung cadangan pembinaan Pusat Pemulihan Kebajikan di daerah Putatan, sukacita dimaklumkan bahawa Pejabat Kebajikan Putatan telah mengemukakan permohonan tapak baharu kepada agensi berkaitan bagi tujuan pembangunan pusat tersebut memandangkan tapak sebelum ini adalah tidak sesuai kerana memerlukan kos penimbusan tanah yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewang Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah pada persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan melalui program-program kebajikan sedia ada akan terus disalurkan kepada rakyat yang memerlukan sementara cadangan pembangunan fasiliti baharu tersebut diteliti.

“Untuk hal ehwal interim seperti program-program, memang kementerian menerusi jabatan mempunyai program-program berterusan untuk membantu rakyat.

“Jika ada perkara yang lebih spesifik, boleh datang berkonsultasi dengan kementerian,” jelasnya.

Menurutnya, pihak kementerian sentiasa komited memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada rakyat termasuk menyediakan infrastruktur yang kondusif bagi tujuan pemulihan dan perlindungan golongan sasar.