Tawau diisytihar kawasan bencana banjir

TAWAU: Daerah Tawau diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berkuat kuasa 8.30 pagi hari ini susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi yang meningkatkan risiko limpahan air di beberapa kawasan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata pengisytiharan itu dibuat bagi membolehkan semua agensi penyelamat dan keselamatan menyelaras operasi pengurusan bencana secara lebih berkesan.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira hujan berterusan serta fenomena air pasang yang direkodkan mencecah 2.4 meter pada awal pagi.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau memaklumkan pasukan pemantau digerakkan seawal 3.55 pagi ke beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir bagi menilai keadaan semasa.

Antara kawasan dipantau ialah Mid Valley, Taman Rainbow, Tanjung Batu Keramat dan Jalan Bunga Raya.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau, hasil pemantauan mendapati paras air di Mid Valley dan Taman Rainbow masing-masing berada pada 0.5 meter, manakala Jalan Bunga Raya merekodkan bacaan 0.4 meter, namun keadaan masih terkawal.

“Setakat jam 8 pagi, bacaan paras air direkodkan pada 1.6 meter dengan trend menunjukkan penurunan, manakala cuaca ketika pemantauan adalah gerimis,” menurut kenyataan itu.

Katanya, setakat ini tiada jalan dilaporkan terputus atau dinaiki air, tiada kampung terputus hubungan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka kerana keadaan masih terkawal.

Bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, APM Tawau menggerakkan seorang pegawai, sembilan anggota serta sebuah Medium Rescue Vehicle (MRV) dan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) untuk operasi pemantauan di kawasan berisiko.

JPBD Tawau memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau maklumat rasmi daripada pihak berkuasa serta bersedia berpindah sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.