KOTA KINABALU : Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) dan Kibar Bendera 2026 bakal menyemarakkan lagi semangat patriotisme serta memperkukuh tali perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Setiausaha Rendah Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Akaun Kementerian Kewangan, Dayang Selha Ibrahim, berkata pelbagai program menarik telah disusun bagi menghayati semangat kemerdekaan sekali gus menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap negeri Sabah dan negara Malaysia.
“Objektif utama sambutan sepanjang bulan ini adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kita kepada negara dan negeri Sabah yang kita cintai, di samping memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum.
“Sepanjang bulan kemerdekaan ini, pelbagai pengisian rohani dan interaktif turut diatur, antaranya majlis Doa Malaysia, majlis tahlil bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, serta penganjuran kuiz kemerdekaan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temubual di Konti Sabah FM, di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Urus Setia Sambutan HKHS 2026 berkata, sambutan itu akan diadakan pada 1 Ogos depan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, yang dijadualkan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Dalam majlis tersebut turut diadakan pengagihan bendera kepada ketua-ketua jabatan, persatuan serta institusi pendidikan serta gimik pelancaran khas, selain pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Negeri Sabah 2026.