Wanita USIA Anjur Malam Amal Sempena Ulang Tahun Ke-57

KOTA KINABALU : Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan menganjurkan Majlis Malam Amal Citra Madani: Wanita Berbakti, Ummah Diberkati sempena ulang tahun ke-57 penubuhan USIA pada 10 Oktober depan.


Ketua Wanita USIA, Datuk Aminah Aching berkata, majlis yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 500 tetamu.


“Majlis malam amal ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dakwah dan kebajikan Wanita USIA, selain memperkasa peranan wanita dalam pembangunan masyarakat Islam.


“Majlis ini juga diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat, pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan.


“Kami menyasarkan kutipan bersih sebanyak RM400,000 bagi membantu menjayakan pelbagai program dakwah dan kebajikan Wanita USIA,” katanya 

ketika ditemui media selepas mengetuai kunjungan hormat delegasi Wanita USIA kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.


Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kunjungan itu bertujuan menjemput Toh Puan Faridah bagi merasmikan majlis berkenaan, selain menyampaikan hasrat untuk melantik beliau sebagai Penaung Wanita USIA Sabah.


“Kami turut berharap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dapat hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis serta memberikan sokongan dan dorongan moral kepada Wanita USIA,” katanya.

Majlis bertemakan Elegan Muslimah itu akan menampilkan mantan Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009, Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya serta penyanyi dan komposer, Mohammad Hafiz Hamidun.


Pengisian lain termasuk ceramah keagamaan, persembahan artistik Islamik, peragaan busana Muslimah, penyampaian anugerah tokoh berjasa dan hadiah umrah.