KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu bermula sesi persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Dauk James Ratib berkata, persediaan itu melibatkan aspek penempatan tenaga pengajar, sokongan pengurusan murid serta kesiapsiagaan kemudahan fizikal sekolah.
Menurut beliau, antara langkah yang dilaksanakan ialah pengurusan penempatan guru baharu daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) secara terancang.
Selain itu, pelantikan guru secara Kontrak Perkhidmatan (COS) turut dilaksanakan bagi memenuhi keperluan semasa di sekolah.
“Bagi mengurangkan beban tugas guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama JPNS sedang meneliti cadangan penambahan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) untuk membantu mengurus urusan bukan akademik.
“Langkah ini membolehkan guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dalam aspek kemudahan fizikal, beliau berkata beberapa tindakan turut dirancang termasuk pembinaan bilik darjah tambahan, pengubahsuaian serta naik taraf bilik darjah sedia ada.
Katanya, pelaksanaan sistem persekolahan dua sesi juga akan dipertimbangkan di sekolah-sekolah yang memerlukan bagi memastikan kapasiti sedia ada dapat diurus dengan baik.
Tambah beliau, persediaan menyeluruh itu penting bagi memastikan kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan kualiti pengajaran serta kebajikan warga pendidik.