TAWAU: Seorang remaja lelaki ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, awal pagi semalam.
Perintah reman sehingga 25 Julai ini dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri, di Mahkamah Majistret Tawau, pagi ini.
Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan ketika prosiding reman, bayi perempuan seberat 3.1 kilogram itu ditemukan orang awam kira-kira jam 6 pagi semalam di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa.
Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tawau oleh pasukan ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut, sebelum laporan polis dibuat bagi memulakan siasatan.
Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menahan seorang remaja lelaki (orang yang disyaki) di hadapan sebuah rumah di Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru, kira-kira jam 10.40 pagi semalam.
Tidak lama selepas itu, polis turut menahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di kampung yang sama bagi membantu siasatan.
Siasatan lanjut mendapati remaja perempuan itu ialah warga asing yang disyaki berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah sebelum ditahan selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Remaja perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Tawau bersama bayi perempuannya.
Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, dalam kenyataan berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung penemuan bayi terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan atau meninggalkan kanak-kanak.