TAWAU : Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan sebuah sekolah agama di Semporna, awal bulan ini.
Tertuduh, berusia 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia sembilan tahun di hadapan bilik darjah sebuah sekolah agama di Semporna, kira-kira jam 5.35 pagi pada 7 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin menawarkan jaminan sebanyak RM13,000 berserta beberapa syarat tambahan, termasuk larangan kepada tertuduh untuk berhubung atau mendekati mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 September depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu penyerahan Laporan Pusat Temubual Kanak-Kanak (CIC) sebelum sebarang keputusan dan hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh disedari seorang pekerja kantin sekolah, menyebabkan suspek melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis.
Tangkapan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas ibu mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 1.14 tengah hari pada hari kejadian sebaik dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.