TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau hari ini mengisytiharkan penamatan bencana banjir di daerah itu selepas keadaan di semua kawasan yang terjejas disahkan pulih sepenuhnya.
Pengerusi JPBD Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima daripada semua agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana di daerah berkenaan.
Beliau berkata, penamatan bencana itu berkuat kuasa mulai jam 2 petang hari ini, sekali gus menyaksikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau ditutup secara rasmi.
“JPBD mendapati situasi banjir telah pulih sepenuhnya hasil pemantauan berterusan di lapangan oleh semua agensi yang menganggotai jawatankuasa pengurusan bencana.
“Sehubungan itu, bencana banjir di daerah Tawau ditamatkan dan operasi PPS turut dihentikan selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shoffian berkata, sepanjang tempoh bencana, semua agensi penyelamat dan pengurusan bencana memberikan kerjasama penuh bagi memastikan keselamatan mangsa, selain menyelaras bantuan serta operasi pemindahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan dan pihak yang terbabit dalam menguruskan bencana sehingga keadaan kembali pulih.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku perubahan cuaca atau risiko bencana pada masa hadapan.