Pelancong China nampak individu dikhuatiri lemas di Pantai Dalit

TUARAN: Seorang pelancong dari China yang sedang meluncur ombak di Pantai Dalit, di sini, dilaporkan ternampak seorang individu dikhuatiri lemas sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat saksi, pelancong terbabit ternampak objek menyerupai seorang mangsa yang berada di laut dalam keadaan meminta pertolongan.

“Sejurus menerima panggilan, seramai 17 anggota daripada BBP Tuaran, BBP Lintas dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon 1 digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 50 kakitangan sebuah resort berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kurong berkata, operasi pencarian dijalankan menggunakan kaedah Water Surface Searching di persisiran pantai serta bot penyelamat bomba.

Bagaimanapun, katanya, keadaan ombak yang kuat menyukarkan operasi pencarian dan menyelamat dijalankan.

“Pasukan penyelamat melaksanakan pencarian menggunakan bot sehingga radius tiga kilometer dari lokasi kejadian, selain pencarian di permukaan air sejauh 400 meter.

“Namun, tiada sebarang petunjuk atau penemuan mangsa berjaya dikesan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.26 petang dan akan disambung semula sekiranya mendapat arahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya