PAPAR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memulakan pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berimpak tinggi yang diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) itu dilaksanakan susulan peningkatan pesat pembangunan di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan laluan sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan.
Menurutnya, laluan yang kini merupakan jalan tunggal dua lorong mengikut piawaian JKR R4 merekodkan kira-kira 27,000 kenderaan sehari, sekali gus menyebabkan tahap perkhidmatan jalan berada pada Tahap F (Level of Service – LOS F), iaitu tahap kritikal.
“Melalui pelaksanaan projek ini, tahap perkhidmatan jalan raya dijangka dapat dipertingkatkan sekali gus melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.
Majlis pecah tanah projek bernilai RM70.6 juta itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, projek itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 1.3 kilometer daripada jalan dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR U5.
Selain menaik taraf jalan utama, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan pelbagai kemudahan bagi meningkatkan keselamatan pengguna, termasuk menaik taraf tiga persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat.
Turut dibina ialah sebuah jejantas pejalan kaki lengkap dengan laluan berbumbung terus ke SMK Kinarut bagi menjamin keselamatan murid sekolah.
Projek itu turut merangkumi pembinaan tiga hentian bas, dua perlindungan motosikal, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta sistem perparitan baharu.
Alexander berkata, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas, projek berkenaan dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi di sepanjang koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar dengan meningkatkan akses kepada kawasan perniagaan, industri dan sektor pelancongan.
Katanya, kejayaan pelaksanaan projek itu memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan semua agensi berkaitan, khususnya dalam mempercepatkan proses pengambilan tanah serta pengalihan utiliti.
“Sinergi semua pihak amat penting bagi mengelakkan sebarang kelewatan yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek demi kepentingan rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kontraktor yang dilantik supaya melaksanakan projek mengikut jadual, spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan.
Tambah beliau, pemantauan berkala akan dilaksanakan oleh KKR bersama Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah bagi memastikan projek berjalan lancar serta memenuhi sasaran yang ditetapkan.
Menurut beliau, komitmen itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan rangkaian jalan Persekutuan yang berkualiti, selamat dan selesa kepada rakyat Sabah.