Lelaki nafi rogol budak bawah umur tukar pengakuan, minta dibicarakan

TAWAU: Seorang pekerja pembentungan yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun sembilan bulan, hari ini menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Tertuduh berusia 30 tahun itu membuat pengakuan berkenaan ketika prosiding di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Tertuduh sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan ketika prosiding pada 14 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berkenaan di kawasan semak di belakang sebuah bangunan lama di Batu 4, Jalan Apas, di sini, pada Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Oktober ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan, penyerahan dokumen serta lantikan peguam bagi mewakili tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin.