Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Jafry Ariffin, menyambut baik hasrat yang disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, untuk meneroka potensi kerjasama melibatkan monyet belanda (Proboscis Monkey) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan konservasi, penyelidikan dan kesedaran awam mengenai khazanah biodiversiti Malaysia.
Menurut Jafry, hasrat tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap kekayaan biodiversiti Sabah yang menjadi antara aset semula jadi paling bernilai di negara ini.
“Monyet belanda bukan sekadar ikon pelancongan Sabah, malah merupakan spesies endemik Pulau Borneo yang mempunyai nilai konservasi tinggi serta menjadi lambang keunikan ekosistem hutan paya bakau dan hutan riparian di negeri ini,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa monyet belanda bukan hanya terdapat di Sungai Kinabatangan, malah spesies tersebut turut mendiami beberapa habitat semula jadi lain di Sabah termasuk Sungai Klias, Weston, Teluk Labuk, Segama, Trusan Sugut serta kawasan-kawasan hutan bakau dan hutan riparian yang lain.
Walau bagaimanapun, Sungai Kinabatangan kekal sebagai habitat semula jadi terbesar, paling penting dan paling terkenal di dunia bagi spesies tersebut, selain menjadi lokasi utama penyelidikan saintifik serta destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.
Tambah Jafry, sebarang cadangan melibatkan pemindahan atau penempatan spesies hidupan liar di luar habitat asalnya perlu melalui penelitian yang amat teliti dan tidak boleh dilihat hanya dari sudut tarikan pelancongan semata-mata.
“Sebarang cadangan seumpama ini perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan bukti saintifik, aspek kebajikan haiwan, kesesuaian habitat, kesihatan veterinar, kepelbagaian genetik, pengurusan populasi serta pematuhan kepada semua peruntukan undang-undang dan piawaian konservasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata, Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pakar konservasi, institusi penyelidikan dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan utama dalam membuat penilaian sekiranya cadangan tersebut ingin dipertimbangkan pada masa hadapan.
Menurut beliau, sekiranya semua syarat teknikal, saintifik dan perundangan dapat dipenuhi, kerjasama sedemikian berpotensi menjadi platform bagi memperkukuhkan pendidikan konservasi, memperluaskan penyelidikan saintifik serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara spesies endemik Borneo.
“Namun, pendirian Sabah adalah jelas. Keutamaan kita sentiasa tertumpu kepada usaha memastikan spesies ini terus berkembang dan kekal terpelihara di habitat semula jadinya. Sebarang bentuk kerjasama mesti memberi manfaat kepada agenda pemuliharaan jangka panjang dan tidak sekali-kali menjejaskan kelangsungan populasi hidupan liar di Sabah,” katanya.
Jafry turut menegaskan bahawa Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan negeri-negeri lain dalam bidang konservasi, penyelidikan biodiversiti dan pembangunan ekopelancongan berasaskan amalan lestari, selaras dengan komitmen negeri untuk terus menjadi peneraju pemuliharaan alam semula jadi di Malaysia.