SDB bukan pemilik tanah PacifiCity, hanya pembiaya projek

KOTA KINABALU: Sabah Development Bank Berhad (SDB) menjelaskan bahawa pihaknya merupakan pembiaya projek PacifiCity dan bukan pemilik berdaftar tanah pembangunan berkenaan.

SDB dalam satu kenyataan memaklumkan, kira-kira RM300 juta masih tertunggak setakat ini, manakala tanah projek berkenaan dicagarkan kepada bank sebagai sekuriti dan dimiliki oleh MAKSAK.

“Mahkamah Tinggi pada 31 Julai 2025 telah menolak tuntutan yang dikemukakan terhadap bank itu dan memutuskan bahawa SDB hanya bertindak sebagai pembiaya projek.

“Mahkamah mendapati tanggungjawab terhadap kerugian yang dialami pembeli terletak pada pihak pemaju, yang sejak itu telah digulungkan,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi, pada Selasa.

Susulan penggulungan pemaju, projek berkenaan kini berada di bawah pentadbiran pelikuidasi yang dilantik mahkamah dan sedang diuruskan oleh Pelikuidasi Swasta.

SDB berkata, sejak pelantikan itu, Pelikuidasi Swasta telah mengadakan rundingan dengan pembeli serta agensi kerajaan berkaitan dan menjalankan beberapa proses tender bagi mengenal pasti pelabur berpotensi atau “white knight” untuk menghidupkan semula projek berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pelabur mengemukakan cadangan rasmi yang kukuh, dengan cabaran utama ialah keperluan modal yang besar untuk memulihkan pembangunan tersebut.

“SDB telah menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan pengurangan ketara terhadap pendedahan kewangannya bagi menyokong pelan penyelamatan yang berwibawa dan menarik pelabur berpotensi.

“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada cadangan rasmi dikemukakan untuk pertimbangan,” jelasnya.

SDB turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan Pelikuidasi Swasta, pihak berkuasa berkaitan, pembeli dan pihak berkepentingan lain bagi meneroka penyelesaian praktikal.

Tambahnya, kejayaan menghidupkan semula PacifiCity bergantung kepada keupayaan mendapatkan pelabur yang mempunyai kapasiti kewangan mencukupi bagi menyediakan pelaburan besar yang diperlukan untuk menyiapkan projek berkenaan.