Suspek cabul kanak-kanak 13 tahun direman 7 hari

TAWAU : Seorang lelaki warga asing yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Kalabakan, semalam, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau selepas membenarkan permohonan polis.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat, Inspektor Rabiatul Adawiyah Japri.

Suspek direman sehingga 29 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Semalam, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 9.45 pagi di kawasan Kedai-Kedai Bulatan Kalabakan, selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 4.40 pagi apabila mangsa yang berada di sebuah rumah kedai didakwa didatangi seorang lelaki sebelum suspek bertindak melakukan perbuatan cabul berkenaan.

Mangsa bagaimanapun sempat menjerit meminta pertolongan dan melawan menyebabkan lelaki terbabit menendangnya lalu melarikan diri.