Penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: BHESS mula libat urus SPR

KOTA KINABALU: Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) mula mengadakan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan hala tuju serta mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau mengetuai BHESS dalam kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun hari ini bagi membincangkan perkara berkenaan.

Menurutnya, pertemuan itu susulan perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan termasuk Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu yang mengambil maklum bahawa perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Perdana Menteri turut menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, ketika ini Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat.

Katanya, cadangan yang dikemukakan adalah untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada 35 peratus secara seimbang dengan kerusi di Semenanjung Malaysia.

“Perbincangan hari ini memberi tumpuan kepada proses serta pertimbangan perlembagaan, perundangan dan teknikal termasuk aspek persempadanan bahagian pilihan raya, data yang diperlukan serta bentuk libat urus antara kerajaan, SPR dan pihak berkepentingan,” katanya.

Pada 11 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju secara prinsip meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat selaras dengan semangat MA63.

Anwar berkata, pelaksanaan perkara itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan mekanisme serta jumlah penambahan kerusi perlu dibincangkan bersama SPR, kerajaan negeri serta pihak berkaitan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun sebelum ini turut memaklumkan bahawa penambahan kerusi berkenaan akan melibatkan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya, tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan penambahan jumlah kerusi, sebaliknya menyentuh usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63.

“BHESS akan terus bekerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa SPR,” katanya.