Lima kediaman, empat kenderaan musnah dalam kebakaran Inanam Laut

KOTA KINABALU: Lima kediaman termasuk dua rumah separuh kekal dan tiga bilik sewa musnah dalam kebakaran di Kampung Inanam Laut, Inanam, malam tadi.

Kebakaran turut memusnahkan empat kenderaan terdiri daripada dua kereta dan dua motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.23 malam sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 7.29 malam.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 60×60 kaki dan sebuah lagi berkeluasan 40×65 kaki, masing-masing musnah 100 peratus.

“Turut musnah tiga bilik sewa jenis tidak kekal berukuran 15×15 kaki setiap satu yang terbakar 100 peratus.

“Empat kenderaan turut terbakar iaitu Perodua Kancil, Perodua Kenari, motosikal Yamaha Y16 dan Honda EX5. Perodua Kancil serta kedua-dua motosikal musnah sepenuhnya, manakala Perodua Kenari terbakar kira-kira 10 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Sherriyana berkata, pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan bagi memadam kebakaran.

Katanya, sumber air diperoleh daripada jentera bomba, lori tangki air dan sumber air terbuka dari sungai berhampiran.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 8.19 malam dan operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, seorang mangsa mengalami sesak nafas dan menerima rawatan awal daripada pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan kira-kira 70 rumah berhampiran daripada terjejas.