KKM siasat dakwaan wanita 24 tahun terlantar selepas mengambil ubat kurus

TUARAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan seorang wanita berusia 24 tahun mengalami keadaan terlantar selepas mengambil ubat Mounjaro dan Ozempic bagi tujuan menurunkan berat badan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca sebenar keadaan wanita berkenaan yang dilaporkan berlaku di Batu Pahat, Johor.

Menurutnya, KKM perlu menunggu dapatan pihak klinikal dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat berhubung kes terbabit.

“Saya belum dapat ketahui apa sebenar-benarnya yang berlaku. Saya belum pasti lagi apa yang disebutkan di sini.

“Saya menunggu untuk mendapatkan ‘findings’ daripada jabatan dan bahagian kita supaya dapat diberitahu apa sebenar-benarnya masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBATS) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman, hari ini.

Dzulkefly berkata, KKM juga perlu mengenal pasti terlebih dahulu bahan atau produk yang digunakan wanita berkenaan sebelum sebarang komen lanjut dapat diberikan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Mounjaro dan Ozempic merupakan ubat dalam kumpulan GLP-1 agonis yang berdaftar dan penggunaannya perlu dikendalikan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Katanya, ubat berkenaan telah melalui proses pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan penggunaannya adalah dalam lingkungan amalan klinikal apabila dipreskripsikan dengan sewajarnya.

“Kalau dikatakan Mounjaro ataupun Ozempic, semua itu adalah GLP-1 agonis yang berdaftar.

“Ia dalam lingkungan clinical practice dan hanya boleh dipreskripsi oleh pengamal-pengamal perubatan yang berdaftar,” katanya.

Bagaimanapun, Dzulkefly berkata, sekiranya bahan yang digunakan bukan produk berdaftar seperti Mounjaro atau Ozempic, status serta kandungannya perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan faktor lain yang perlu disiasat, termasuk sama ada produk berkenaan mengandungi bahan tambahan atau bahan yang tidak disahkan.

“Lebih senang untuk saya katakan, saya menunggu untuk mendapat penjelasan dengan lebih terperinci daripada clinicians kita, daripada doktor-doktor kita dan daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” jelasnya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata penggunaan Mounjaro atau Ozempic secara sewajarnya dan di bawah pengawasan perubatan adalah berbeza dengan penggunaan produk yang tidak dikenal pasti kandungan serta status pendaftarannya.

Beliau menegaskan pihaknya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan berhubung keadaan wanita berkenaan selagi dapatan terperinci daripada pihak berkaitan belum diperoleh.

Menurutnya, Ketua Pengarah Kesihatan berkemungkinan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas maklumat mengenai kes terbabit diperoleh.