KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan meminda Akta Hak Cipta 1987 bagi memperkukuh kuasa Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), khususnya dalam mengawal selia Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan itu boleh diteliti bagi memastikan kuasa kawal selia MyIPO terhadap operasi CMO dapat diperkukuh, termasuk aspek penetapan tarif dan pengurusan royalti.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa Seksyen 27M Akta Hak Cipta 1987 yang diperkenalkan pada 2022 sudah memberikan kuasa kepada Pengawal Hak Cipta untuk mengeluarkan garis panduan berkaitan pengisytiharan dan pengoperasian CMO.
“Menerusi garis panduan berkenaan, sebarang semakan atau pindaan tarif perlu dimaklumkan kepada dan mendapat kelulusan Pengawal Hak Cipta, dengan mengambil kira pandangan jawatankuasa yang melibatkan kerajaan, industri dan pihak berkepentingan CMO.
“Garis panduan itu diterbitkan MyIPO pada 17 Januari 2025 dan dijadualkan dikuatkuasakan pada Januari 2026. Bagaimanapun, pelaksanaannya tertangguh susulan permohonan semakan kehakiman oleh tiga organisasi, iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM),” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Pendengaran substantif bagi permohonan semakan kehakiman itu dijadualkan pada 24 November 2026, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertahankan garis panduan berkenaan melalui proses perundangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Seksyen 59C yang diperkenalkan pada 2019 menyediakan saluran penyelesaian pertikaian melalui Tribunal Hak Cipta bagi isu pengagihan royalti antara CMO dengan ahli, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.
Armizan berkata kerajaan turut mengambil maklum cadangan supaya kuasa MyIPO diperkukuh bagi memastikan pengurusan tarif dan royalti lebih telus serta mengambil kira kepentingan pemilik hak cipta, pengguna karya dan pihak berkaitan industri.