KOTA KINABALU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Lorong Iramanis Centre, Kolombong, Inanam, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.39 pagi.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari BBP Lintas tiba di lokasi tiga minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan berkenaan.
“Empat mangsa terlibat dalam kemalangan itu dengan tiga lelaki yang berada dalam Perodua Myvi mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan ketiga-tiga mangsa dari kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Sherriyana berkata, pemandu Myvi berusia 23 tahun mengalami kecederaan di muka, manakala penumpang masing-masing berusia 35 dan 38 tahun cedera di kepala serta tangan.
Katanya, ketiga-tiga mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki dewasa, tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan selamat.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan pada jam 4.20 pagi,” katanya.