Anak ditahan selepas ibu ditemukan maut

TAMBUNAN: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas ibunya, 56, ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan yang dipercayai akibat senjata tajam.

“Susulan kejadian itu, polis mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga anak kandung mangsa.

“Suspek kemudian berjaya dikesan dan ditahan penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan menggunakan kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, pada jumaat.

Katanya, setibanya di perkarangan Balai Polis Tambunan, suspek kemudian ditahan secara rasmi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Sementara itu, pasukan penyiasat bersama Unit Forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital bagi menjalani bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Erwansyah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta kronologi penuh kejadian.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes berkenaan.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai,” katanya.