TUARAN: Keadaan jerebu di Sabah menunjukkan trend penurunan di kebanyakan kawasan, manakala tiada kematian akibat komplikasi berkaitan jerebu dilaporkan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata walaupun terdapat beberapa lokasi merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), keadaan keseluruhan masih terkawal dengan bacaan di Sabah tidak melebihi paras 200.
Menurutnya, bacaan IPU di Tawau menurun daripada 153 pada 4 September kepada 92 hari ini, manakala Sandakan turun daripada 152 kepada 78 dan Kota Kinabalu daripada 151 kepada 128.
“Bagaimanapun, ada juga tempat yang meningkat seperti Kimanis daripada 126 kepada 151, Keningau naik sedikit daripada 84 kepada 88 dan Politeknik Kota Kinabalu daripada 152 kepada 155,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBATS) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, beberapa penyakit berkaitan jerebu turut menunjukkan penurunan.
Katanya, kes konjunktivitis atau sakit mata menurun sebanyak 87.5 peratus, diikuti jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) sebanyak 28.9 peratus dan kes asma sebanyak 26.9 peratus.
“Semua menunjukkan trend yang menurun. Konjunktivitis 87.5 peratus, URTI adalah 28.9 peratus dan asma adalah 26.9 peratus.
“Dan kita tahu tiada kematian akibat komplikasi berkaitan jerebu dilaporkan di fasiliti-fasiliti KKM setakat ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah risiko kesihatan akibat pendedahan kepada jerebu, terutama golongan rentan.
Katanya, kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit bersama atau komorbiditi perlu mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
“Jangan ambil mudah, jangan bermudah-mudah, terutamanya bagi kumpulan rentan, berisiko, kanak-kanak sekolah dan juga orang tua, mereka yang ada komorbiditi.
“Kita kena pastikan mereka yang ada asma elakkan daripada berada di tempat yang terdedah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang perlu berada di kawasan terdedah supaya mengambil langkah perlindungan sewajarnya, termasuk memakai pelitup muka.
Mengulas keadaan jerebu ketika ini, Dzulkefly berkata situasi di Sabah masih belum mencapai tahap yang memerlukan tindakan terlalu drastik, namun langkah berjaga-jaga perlu terus diamalkan.
“Kita dalam keadaan 100 lebih ini, kita perlu mengambil berjaga-jaga, mengambil SOP yang saya telah sebut tadi,” tambahnya.
Beliau berkata keadaan jerebu akan terus dipantau dan berharap trend penurunan bacaan IPU di kebanyakan kawasan Sabah berterusan.
“Kita doakan jerebu ini akan terus menurun. Trendnya memang saya lihat semua menurun, ada juga tempat-tempat yang meningkat, tetapi tidak melebihi 200,” katanya.