KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 10.00 pagi ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kawasan terlibat membabitkan Pantai Barat iaitu Papar, Penampang, Putatan, Tuaran dan Kota Kinabalu.
Turut terjejas ialah beberapa kawasan di Pedalaman meliputi Kuala Penyu, Beaufort, Membakut, Pensiangan, Sipitang dan Tenom, selain Tawau serta Kalabakan.
“Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, W.P. Putrajaya dan Port Dickson, Negeri Sembilan, serta W.P. Labuan.
“Amaran berkenaan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.
Tambahnya, amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.