KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berdasarkan peratusan seperti sebelum ini bagi mengatasi kekurangan doktor berkhidmat di Sabah.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata,
keadaan itu merupakan isyarat serius terhadap isu kekurangan tenaga perubatan di negeri ini.
Menurutnya, angka berkenaan berdasarkan maklumat penempatan di hospital dan tidak termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta klinik kerajaan kerana MMA Sabah tidak mempunyai data setanding bagi fasiliti terbabit.
“Daripada 138 pegawai perubatan dari luar Sabah yang dijangka melapor diri di hospital seluruh Sabah, hanya 47 yang telah melapor diri ketika data ini dikumpulkan, iaitu kira-kira 34 peratus.
“MMA Sabah menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerbitkan dan mengesahkan angka lengkap berkaitan kadar pelaporan pegawai perubatan di seluruh Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, cadangan berkenaan turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan keadaan kerja dan kehidupan doktor, khususnya mereka yang ditempatkan di kawasan luar bandar serta daerah yang kurang mendapat tenaga perubatan.
Langkah kedua ialah memperkukuh insentif khusus untuk Sabah, termasuk bantuan penempatan, pengangkutan dan insentif bersasar bagi doktor yang berkhidmat di daerah yang kurang mendapat tenaga perubatan.
“Ketiga, MMA Sabah mencadangkan bantuan perpindahan serta kepastian mengenai tempoh penempatan di Malaysia Timur dipertingkatkan, manakala kemudahan kuarters dan infrastruktur asas untuk petugas kesihatan turut perlu diberi perhatian.
“Langkah keempat adalah memperbaiki keadaan kehidupan di kawasan luar bandar termasuk bekalan air dan elektrik, jalan raya, capaian internet serta pengangkutan yang selamat,” ujarnya.
MMA Sabah turut mencadangkan pembangunan kumpulan doktor tempatan diperkukuh menerusi biasiswa, bantuan kewangan, sokongan latihan kepakaran dan peluang pengajian pascasiswazah yang lebih jelas bagi menggalakkan doktor anak Sabah kembali berkhidmat di negeri ini.
Menurut Dr Brandon, kekurangan tenaga kerja itu turut memberi kesan kepada operasi hospital apabila terdapat jabatan yang memerlukan pegawai perubatan menjalani tugasan on-call setiap dua hari berikutan jumlah doktor yang tidak mencukupi.
Beliau menegaskan keadaan itu tidak boleh berterusan kerana kekurangan doktor tidak boleh diselesaikan dengan hanya meningkatkan beban kerja doktor yang masih ada.
“Setiap doktor yang keluar tanpa pengganti akan meningkatkan beban kerja, kekerapan on-call dan tanggungjawab doktor yang kekal, sekali gus berisiko mencetuskan keletihan dan burnout sebelum lebih ramai doktor meninggalkan sistem,” jelasnya.
Dr Brandon menambah, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memperkukuh kerjasama dalam menangani isu tenaga kerja kesihatan, termasuk mewujudkan platform berstruktur membabitkan KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan pihak berkepentingan.
“Jawatan yang wujud dalam carta organisasi tidak membawa makna jika tiada siapa yang bersedia mengisinya. Jawatan tetap yang tidak diterima oleh doktor tidak akan merawat pesakit,” katanya.
Beliau berkata, Sabah memerlukan doktor yang benar-benar berada di lapangan, disokong dengan keadaan kerja dan kehidupan yang munasabah, keselamatan, peluang perkembangan profesional serta insentif yang mampu menggalakkan mereka untuk kekal berkhidmat.
MMA Sabah turut menggesa kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan menjelang Belanjawan 2027, termasuk mempertimbangkan semula struktur insentif bagi Sabah dan Sarawak.
“Sabah memerlukan doktor yang berada di lapangan. Tindakan perlu diambil sebelum keadaan kekurangan doktor ini berubah menjadi gangguan terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan,” tambah beliau.