Edar lebih 11kg syabu, penganggur berdepan hukuman mati

TAWAU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar lebih 11 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di kawasan stor pejabat sebuah syarikat bas ekspress di Jalan Damai, di sini, bulan lalu.

Mohd Azlan Muslimin, 31, mengaku faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 11,155.22 gram pada kira-kira jam 9.30 pagi 19 September lalu.

Atas kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dengan penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah disebat minimum 12 sebatan.

Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun, yang menjalankan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 3 November 2026 untuk mendapatkan laporan kimia sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.