UMS sambut baik biasiswa khas, sasar tingkat pengambilan pelajar perubatan hingga 150 setahun

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Sabah menyediakan biasiswa khas kepada anak negeri yang mengikuti pengajian perubatan di universiti itu bagi meringankan beban kewangan pelajar serta melahirkan lebih ramai doktor untuk memenuhi keperluan kesihatan Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, inisiatif berkenaan turut menyokong usaha Sabah Maju Jaya 2.0 dalam melahirkan lebih ramai tenaga perubatan tempatan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meluluskan pengambilan sehingga 150 pelajar perubatan setahun di UMS.

“Sebagai langkah awal, UMS telah meningkatkan pengambilan daripada 90 kepada 100 pelajar setahun.

“Kita akan menambah pengambilan secara berfasa mengikut kapasiti latihan klinikal supaya setiap pelajar mendapat tempat latihan, penyeliaan dan peluang belajar bersama pesakit dalam setiap disiplin utama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Hospital UMS kini sedang memperluas perkhidmatannya sebagai hospital pengajar secara berfasa dan apabila beroperasi sepenuhnya kelak, kemudahan itu dapat menyediakan lebih banyak tempat latihan klinikal kepada pelajar.

Selain itu, UMS akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi menyelaras penempatan serta penyeliaan pelajar di hospital dan klinik KKM.

Dalam perkembangan berkaitan, UMS kini menawarkan latihan kepakaran dalam bidang Perubatan Kesihatan Awam, Perubatan Kecemasan dan Anestesiologi.

“Program latihan kepakaran dalam bidang Perubatan Rehabilitasi, Ortopedik dan Perubatan Keluarga pula kini berada di peringkat akhir pembangunan,” tambahnya.

Rosalam menegaskan hasrat UMS adalah untuk memberi lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti pengajian perubatan dan latihan kepakaran di negeri sendiri sebelum berkhidmat kepada rakyat Sabah.