Cubaan masuk Sabah ikut ‘jalan tikus’ gagal, tiga warga asing ditahan

TAWAU : Cubaan tiga lelaki warga asing memasuki Sabah melalui laluan tidak diwartakan gagal selepas mereka ditahan polis dalam operasi membanteras Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Jeti Awam (CIQS lama), di sini.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan di hadapan pos pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan jeti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, sepasukan anggota Unit Task Force, Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan pemerhatian di kawasan berkenaan susulan maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, hasil pemerhatian itu membawa kepada pengesanan ketiga-tiga lelaki terbabit sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek tidak menemui sebarang barang salah, namun mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil temu bual awal mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut dipercayai telah memasuki Malaysia melalui laluan alternatif yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, ketiga-tiga suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis membanteras kegiatan penyeludupan, kemasukan PTI serta ketirisan di kawasan jeti awam yang dikenal pasti sebagai antara laluan masuk ke bandar Tawau.

Sehubungan itu, Rosdi menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki sebarang aktiviti kemasukan individu tanpa dokumen yang sah.

“Kerjasama masyarakat penting bagi membantu pihak berkuasa memperketat kawalan di kawasan laluan masuk serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Tawau terus terpelihara,” katanya.