KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendedahkan terdapat pemilik kenderaan yang mempunyai 200 kompaun parkir tertunggak dengan jumlah tunggakan mencecah RM40,000.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, rekod itu menunjukkan terdapat kesalahan parkir berulang dalam kalangan pemilik kenderaan yang masih belum menyelesaikan kompaun terdahulu.
“Pemilik diminta segera menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk menguruskan tuntutan kenderaan. Permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan.
“DBKK tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir, meskipun undang-undang kecil berkenaan membenarkannya tertakluk kepada syarat dan prosedur.
“Lelongan setakat ini hanya melibatkan kenderaan buruk yang terbiar dan menjadi buangan bagi menangani masalah kebersihan, keselamatan dan penggunaan ruang awam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, tindakan penundaan dilaksanakan bagi memastikan jalan raya dan laluan pejalan kaki tidak terhalang, selain menjaga keselamatan serta kepentingan pengguna awam.
“Antara kawasan yang sering menerima aduan berkaitan parkir berganda dan halangan lalu lintas ialah Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa sebelum penundaan dilakukan, anggota penguat kuasa akan memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan.
“Penundaan dilaksanakan sebagai langkah terakhir sekiranya arahan tidak dipatuhi.
“DBKK komited melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, adil dan konsisten,” tambahnya.
Sehubungan itu, orang ramai diseru mematuhi peraturan parkir demi Kota Kinabalu yang teratur, selamat dan selesa untuk semua.