KOTA KINABALU: Sabah terus membuka ruang kepada pelaburan berkualiti tinggi dari Norway, khususnya dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta aktiviti hiliran berkaitan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerjasama berkenaan berpotensi memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri selain membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat EInnovation & EPlug dari Norway yang diketuai Presidennya, Evald Holstad, bersama rombongan di pejabatnya, di sini semalam.
Menurutnya, Sabah sentiasa bersikap terbuka terhadap pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Sabah sentiasa terbuka kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri, di samping mewujudkan peluang ekonomi dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
“Kerjasama seperti ini juga berpotensi membuka ruang kepada penerokaan baharu dalam sektor tenaga,” katanya.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada Holstad dan rombongan atas kunjungan berkenaan yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara Sabah dan Norway.
Pertemuan itu turut membincangkan prospek pelaburan serta potensi kerjasama dalam sektor minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran yang berkaitan.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong; Ketua Pegawai Eksekutif TAS Institute Oil and Gas, Datuk Willie Ng; Ketua Pegawai Korporat dan OGSE SMJE, Terry Biusing serta wakil berkaitan.