Hak 40 peratus Sabah tidak pernah dijadikan tawar-menawar politik, kata SUA Mustapha

KOTA KINABALU: Hak Sabah terhadap Pemberian Khas 40 peratus tidak pernah dijadikan bahan tawar-menawar politik, kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Farid Sainuri.

Beliau berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berhubung bayaran interim RM1.5 bilion sebelum ini dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah hak perlembagaan Sabah dikaitkan dengan sokongan politik kepada Kerajaan MADANI.

Menurutnya, apa yang ditegaskan Mustapha ialah kesungguhan pentadbiran Kerajaan MADANI memenuhi keperluan Sabah menerusi peningkatan bayaran interim yang kini mencecah RM1.5 bilion setahun.

“Penegasan terhadap rekod pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik.

“Hak Sabah kekal sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan Pemberian Khas 40 peratus Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Farid berkata, peningkatan bayaran interim itu turut mencerminkan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam mencari penyelesaian terhadap perkara berkaitan hak serta kepentingan rakyat Sabah.

Beliau berkata, Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion bukan dan tidak pernah dianggap sebagai pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40 peratus, sebaliknya merupakan bayaran sementara sehingga nilai sebenar Pemberian Khas Sabah dimuktamadkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan peningkatan geran khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta, sementara rundingan mengenai kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu diteruskan.

“Justeru, persoalan mengenai formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaan bukanlah perkara yang diketepikan.

“Itulah proses utama yang sedang dimuktamadkan antara Kerajaan Sabah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya.

Katanya, peningkatan bayaran interim itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai penyelesaian muktamad terhadap tuntutan 40 peratus kerana proses rundingan mengenai formula dan jumlah sebenar masih diteruskan.

“Keutamaan Mustapha kekal memastikan perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan.

“Sebarang hal yang berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 perlu diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan negara,” katanya.