PPM rampas isirung sawit tanpa lesen bernilai RM709,000 di Lahad Datu

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas kira-kira 52 metrik tan isirung kelapa sawit (palm kernel) bernilai RM709,000 yang disimpan tanpa lesen sah di sebuah premis tidak bernombor di Jalan POIC, di sini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata serbuan dilakukan Unit Risik Marin selepas menerima maklumat dan menjalankan risikan berhubung kegiatan berkenaan.

Katanya, hasil pemantauan mendapati berlaku aktiviti pemindahan isirung kelapa sawit daripada sebuah lori treler ke dalam premis berkenaan sebelum serbuan dijalankan.

“Serbuan membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 54 dan 35 tahun, manakala beberapa individu lain melarikan diri ke kawasan semak.

“Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 52 metrik tan isirung kelapa sawit, selain sebuah lori treler Nissan Diesel, dua jentera Caterpillar serta alat sukat bersama kelengkapannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM709,000.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

“Kesemua rampasan akan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Amri berkata PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 14 kes mengikut akta sama sepanjang tahun ini, membabitkan 27 tangkapan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan bagi kes berkenaan mencecah RM9.353 juta.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang, selain melindungi kepentingan ekonomi negara,” katanya.