KOTA KINABALU: Penganjuran Program Ritma Kinabalu @ Rhythms Of Kinabalu (ROK) 2026 menyerlahkan serta menjulang identiti negeri Sabah.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, ROK 2026 menampilkan persembahan yang berteraskan dengan lagenda tempatan, warisan serta cerita rakyat Sabah.
“Tidak nafikan negeri Sabah kaya dengan pelbagai etnik, oleh itu kita tampilkan dalam bentuk persembahan untuk dipersembahkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa.
“Bagi penganjuran edisi ke-12, kisah-kisah ikonik Sabah seperti legenda Aki Nabalu (Gunung Kinabalu), pahlawan etnik Murut, penceritaan Hominodun serta kebudayaan Ratu Lepa dipersembahkan bagi menampilkan kelainan pada kali ini.
“Pengisian berteraskan identiti budaya itu bukan sahaja menjadi lambang perpaduan menerusi kesenian, malah berfungsi sebagai platform utama dalam usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) serta Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program ROK 2026 di Padang Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, bagi edisi kali ini, Sabah merupakan negeri yang ke-10 sebelum program diteruskan ke negeri-negeri lain.
“Selepas ini kita akan ada lagi beberapa siri persembahan program Pelancongan Budaya antaranya di Pahang, Kuala Lumpur dan Sarawak untuk menutup tirai penganjuran program Pelancongan Budaya JKKN pada tahun 2026,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut berkenaan TMM2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027, Amran memaklumkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk merancakkan lagi industri pelancongan pada tahun hadapan akan dibuat sebaik mungkin.
“TMM2026 juga bakal diteruskan pada tahun hadapan dan Sabah juga akan menganjurkan Tahun Melawat Sabah 2027.
“Oleh itu, ROK merupakan pengisian yang akan kita bawakan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan juga JKKN bagi mempromosikan program berkenaan,” ujarnya lagi.
ROK 2026 telah dirasmikan oleh wakil Ketua Menteri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd Sainal, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab serta Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC (Kebudayaan), Datuk Mohd Yusri Mohd Yussof.