KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar agenda Sabah dan Sarawak, sebaliknya perlu dilihat sebagai agenda nasional yang menjadi antara tiang seri pembentukan Persekutuan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata Kerajaan MADANI kekal komited memastikan pelaksanaan MA63 diterjemahkan kepada penyelesaian konkrit yang membawa manfaat serta kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau berkata daripada 29 perkara utama yang dipantau menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), sebanyak 16 perkara sudah diselesaikan sepenuhnya, manakala tiga lagi berada pada tahap penyelesaian interim atau sebahagian.
“Sebanyak 10 perkara lagi masih dalam rundingan lanjut antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan secara berstruktur.
“Antara perkara yang belum dimuktamadkan termasuk Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang kini mempunyai persetujuan interim pembayaran pada kadar RM1.5 bilion untuk Sabah dan Sarawak sementara formula pengiraan dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kini memasuki fasa libat urus rasmi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, pertemuan pertama antara Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan SPR pada 22 September lalu membincangkan hala tuju serta mekanisme pelaksanaan cadangan berkenaan.
“Perbincangan itu turut meliputi pertimbangan dari aspek Perlembagaan, perundangan, teknikal, persempadanan pilihan raya serta data yang diperlukan.
“Pada masa ini Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan Dewan Rakyat, dengan cadangan meningkatkan nisbah perwakilan kepada 35 peratus,” katanya.
Susulan pertemuan berkenaan, Mustapha berkata beliau mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan membabitkan SPR, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), BHESS serta kerajaan negeri bagi memperincikan kaedah dan garis masa pelaksanaan cadangan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Friends of BHESS bersama Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia bakal membuka ruang kepada Ahli Dewan Rakyat dan Senator untuk memahami serta membincangkan MA63 secara lebih terbuka dan konstruktif.
Beliau menegaskan Friends of BHESS bukan mekanisme rundingan baharu atau pengganti kepada MTPMA63, sebaliknya berperanan membina kefahaman dan sokongan di Parlimen, khususnya bagi perkara yang memerlukan proses perundangan serta sokongan Ahli Parlimen.
“MA63 bukan agenda Sabah dan Sarawak semata-mata. MA63 adalah agenda Malaysia.
“Atas dasar itu, keputusan Perdana Menteri mengangkat MA63 sebagai Agenda Nasional adalah bertepatan dengan Perlembagaan dan semangat pembentukan Malaysia.
“Ia wajar difahami serta didukung bersama oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.