KOTA KINABALU: Keganasan dalam sesuatu konflik tidak semestinya berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya boleh bermula daripada emosi negatif yang dipendam dan dibiarkan berlarutan tanpa pengurusan yang baik.
Tekanan akibat masalah pekerjaan, kewangan dan keluarga antara cabaran kehidupan yang boleh mempengaruhi emosi seseorang, terutama apabila perasaan marah, kecewa dan tertekan tidak ditangani dengan berkesan.
Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Tuan Norbalkish Tuan Abdullah berkata, emosi yang terpendam dalam tempoh lama boleh berkembang menjadi dendam sebelum akhirnya mencetuskan tindakan keganasan.
“Apabila keadaan ini tidak diuruskan, perasaan negatif yang bercambah dalam diri akan terkumpul dan boleh meletus,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Tanpa Keganasan Sedunia.
Menurutnya, kemahiran pengurusan emosi yang berkesan penting bagi membendung konflik interpersonal daripada berkembang menjadi situasi lebih serius.
Beliau berkata, individu yang berdepan konflik boleh mengambil beberapa langkah mudah untuk mengawal emosi, termasuk menggunakan teknik pernafasan serta mengambil jarak daripada situasi yang mencetuskan tekanan.
“Teknik pernafasan yang digunakan dalam sesi kaunseling boleh membantu seseorang menenangkan diri dengan berhenti seketika, mengawal pernafasan dan mengingatkan diri supaya bertenang,” katanya.
Norbalkish berkata, mengambil jarak daripada situasi tegang juga penting bagi memberikan ruang kepada individu untuk menenangkan diri sebelum kembali berdepan dengan konflik berkenaan.
Katanya, keganasan dan konflik yang berpanjangan bukan sahaja memberi kesan kepada emosi dan psikologi, malah boleh menyebabkan tubuh berasa letih akibat tekanan yang berterusan.
“Individu yang mengalami kesan konflik dalam tempoh yang lama juga akan mula berasa tidak selesa untuk berinteraksi dengan orang lain dan cenderung menjauhkan diri daripada persekitaran sosial,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati individu yang mengalami kesan konflik secara berterusan sehingga dua minggu supaya mendapatkan bantuan segera daripada kaunselor atau individu yang dipercayai.
Menurutnya, mendapatkan sokongan lebih awal penting bagi membantu individu mengurus emosi dan tekanan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Antara marah dan tindakan, ada ruang untuk berhenti.
Pengurusan emosi yang baik bukan bermaksud mengabaikan kemarahan atau masalah yang dihadapi, tetapi memberi peluang kepada seseorang untuk bertenang, memahami keadaan dan memilih tindakan yang tidak membawa kepada keganasan.