PENAMPANG: PETRONAS dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah baru-baru ini membawa pendekatan pembelajaran Matematik secara interaktif kepada pelajar SMK Petagas dan SMK Limbanak di sini menerusi Program Bijak Kalkulator, satu inisiatif di bawah program Discover PETRONAS @ School.
Program itu memberi pendedahan kepada 130 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat mengenai penggunaan kalkulator saintifik secara praktikal dalam bidang seperti algebra, trigonometri, statistik dan fungsi bagi meningkatkan pemahaman dan keyakinan mereka dalam mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan.
Menerusi aktiviti amali dan latihan penyelesaian masalah seperti Eksplorasi Butang/Fungsi Kalkulator dan Treasure Hunt Kalkulator, pelajar berpeluang mempraktikkan fungsi kalkulator dalam menyelesaikan pelbagai soalan Matematik.
Pelajar Tingkatan Empat SMK Petagas, Princess Charissa Ephrem Clement Tubong berharap kemahiran yang diperoleh menerusi program itu dapat membantunya menggunakan kalkulator saintifik dengan lebih cekap dan meningkatkan keyakinannya ketika menghadapi peperiksaan.
“Saya berharap kemahiran ini dapat membantu saya menjimatkan masa, mengurangkan kesilapan pengiraan, dan meningkatkan keyakinan saya ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.
Pelajar Tingkatan Tiga SMK Limbanak, Davysha Donysius pula melihat perkongsian ilmu sebagai antara manfaat program berkenaan.
“Saya berharap apa yang kami pelajari menerusi program ini dapat dikongsi dengan rakan-rakan yang tidak berpeluang menyertainya,” katanya.
Program itu turut melibatkan 33 pelajar Fakulti Sains Gunaan UiTM dan penerima tajaan PETRONAS dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bersama-sama membimbing pelajar sekolah dalam aktiviti yang dijalankan, dengan bimbingan pensyarah UiTM selaku mentor.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Darsahanee Yusop berkata teknologi boleh dimanfaatkan sebagai alat bantu pembelajaran, namun penguasaan konsep asas Matematik dalam kalangan pelajar kekal menjadi keutamaan.
“Kalkulator saintifik merupakan satu alat bantu pembelajaran, namun yang lebih penting ialah pelajar memahami konsep Matematik, berfikiran kritis dan mampu mengaplikasikan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah. Kami berharap program ini dapat meningkatkan keyakinan dan minat pelajar terhadap Matematik dan Sains,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara institusi pengajian tinggi, industri dan sekolah juga mampu membuka lebih banyak peluang pembelajaran bermakna kepada pelajar.
Menerusi Discover PETRONAS @ School, PETRONAS terus bekerjasama dengan institusi akademik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran secara praktikal yang dapat meningkatkan minat, keyakinan dan keupayaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).