Perspektif Bumiputera Sabah, Sarawak perlu diangkat dalam agenda bumiputera – Ewon

KOTA KINABALU: Perspektif dan kepentingan Bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu diberi penekanan dalam merangka Agenda Ekonomi Bumiputera negara.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, dasar dan inisiatif berkaitan agenda Bumiputera perlu mengambil kira perspektif serta keperluan Bumiputera di kedua-dua negeri berkenaan.

“Dalam membangun agenda Bumiputera, sebarang dasar dan inisiatif tidak boleh berorientasikan Bumiputera Semenanjung sahaja. Perspektif, kepentingan, tumpuan dan inisiatif Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti menjadi agenda besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera di sini, hari ini.

Menurut Ewon, kepentingan Bumiputera Sabah dan Sarawak perlu difahami dalam konteks persefahaman antara kaum, sejarah pembentukan Malaysia serta jaminan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut mengandungi jaminan perlindungan kepada pihak yang mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia, manakala Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyentuh kepentingan orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata, ketika menganggotai Kabinet Persekutuan beberapa tahun lalu, beliau telah mencadangkan supaya satu kluster khas diwujudkan bagi membincangkan perspektif dan kepentingan Bumiputera anak negeri Sabah dan Sarawak dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Saya mengatakan kalau dapat diberi pengisian, harus ada satu kluster untuk Sabah dan Sarawak dan pandangan itu diminitkan,” ujarnya.

Susulan itu, katanya, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 menampilkan kluster Sabah dan Sarawak dengan penglibatan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) sebagai panel.

Beliau berkata memorandum atau resolusi kongres itu kemudiannya dibentangkan dalam Kabinet dan menjadi sebahagian daripada proses yang membawa kepada pembentukan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).