KOTA KINABALU: Hari Keluarga Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah menjadi platform memperkukuh silaturahim dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan warga jabatan, termasuk pegawai di peringkat daerah dan ibu pejabat.
Pengarah JAPEN Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, program itu bertujuan mengeratkan hubungan sedia terjalin, selain menjadi medan suai kenal antara pegawai di daerah dengan warga ibu pejabat bagi memudahkan urusan kerja pada masa akan datang.
Beliau berkata, hubungan erat dan kerjasama yang baik penting bagi memastikan sebarang kemusykilan berkaitan pekerjaan dapat diselesaikan dengan lebih mudah, sekali gus membantu jabatan mencapai visi dan misinya.
“Program ini penting kerana selain mengeratkan silaturahim yang sedia terjalin, ia juga demi memastikan segala kemusykilan berkaitan pekerjaan pada masa hadapan dapat diselesaikan dengan mudah.
“Saya percaya dengan ikatan ukhuwah dan kerjasama yang baik, kita akan dapat mencapai visi dan misi jabatan secara bersama-sama di JAPEN Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Rock & Roll Family Nite sempena Hari Keluarga JAPEN Sabah yang berlangsung di sini, Ahad.
Jainisah berkata, penganjuran sukaneka pada sebelah pagi turut memberi peluang kepada warga jabatan untuk berinteraksi dalam suasana santai, sekali gus mengukuhkan hubungan persaudaraan dan memudahkan pelaksanaan tugasan pada masa akan datang.
Menurutnya, program itu juga menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan aktiviti lebih besar secara bersama, khususnya dalam mengaktifkan Kelab Kebajikan dan Jaringan Anggota JAPEN Sabah (KEJORA) susulan pelantikan barisan kepimpinan baharu.
Beliau berharap seluruh warga jabatan dapat terus memberikan sokongan bagi mengembangkan kelab berkenaan pada tahun-tahun akan datang menerusi pelbagai program kebajikan dan sosial.
Dalam pada itu, Jainisah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JAPEN Sabah atas komitmen, usaha dan pengorbanan dalam melaksanakan tanggungjawab serta mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan sepanjang 2026.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga JAPEN Sabah atas segala usaha, keringat, darah dan air mata yang dicurahkan dalam melaksanakan tugasan demi mencapai KPI sepanjang tahun 2026 untuk jabatan dan negara.
“Saya percaya ada yang terasa penat melaksanakan semua tugasan sepanjang tahun ini, namun percayalah segala usaha yang dilakukan tetap mendapat ganjaran daripada Allah SWT,” katanya.
Beliau turut berharap JAPEN Sabah terus meningkatkan prestasi dan muncul sebagai jabatan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan Rock & Roll daripada artis PENTARAMA, tayangan montaj perjalanan serta pencapaian jabatan sepanjang 2026, cabutan tiket bertuah dan persembahan peserta pertandingan nyanyian.
Peserta pertandingan itu mewakili enam zon iaitu Sandakan, Tawau, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Pantai Barat Utara dan Pantai Barat Selatan.
Terdahulu, Hari Keluarga JAPEN Sabah 2026 dimulakan dengan JAPEN Family Sports & Fun Day pada sebelah pagi yang menampilkan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik serta sukaneka bagi kategori kanak-kanak dan dewasa.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JAPEN Negeri Sabah, Azman Sipan; Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Nabila Ramly; KPP Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Sulia Banying Anak Gihang; serta KPP Bahagian Perhubungan Awam, Siti Mariam Aziz Rashid.