KOTA KINABALU: Momentum pembangunan Sabah perlu digerakkan secara bersama dengan penglibatan semua pihak termasuk sektor perniagaan, institusi pendidikan, ahli akademik, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat bagi memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata momentum pembangunan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kini berada pada landasan positif dengan pelbagai agenda pembangunan sedang digerakkan.
Katanya, yang lebih penting, Sabah kini mempunyai perancangan serta hala tuju yang jelas untuk membawa negeri itu ke tahap yang lebih baik.
“Momentum pembangunan negeri mesti digerakkan bersama oleh semua pihak. Sektor perniagaan, institusi pendidikan, ahli akademik, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat perlu bergerak seiring untuk memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Keynote Address pada 1st Borneo International Congress for Business, Education, Economics & Management (BICBEEM) 2026 di Raia Hotel, Kota Kinabalu, hari ini.
Azrul berkata, pendidikan dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan institusi pendidikan perlu melahirkan modal insan berkualiti, manakala sektor perniagaan pula perlu berani meneroka peluang baharu.
Pada masa sama, katanya, ekosistem yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan keusahawanan perlu terus diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan modal insan di Sabah.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan dan potensi besar sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi Borneo, namun apa yang diperlukan ialah kesatuan arah, kekuatan kerjasama dan kesungguhan semua pihak untuk melaksanakan perancangan yang sudah dirangka.
“Kita tidak mahu sekadar bercakap mengenai potensi Sabah. Kita mahu potensi itu diterjemahkan menjadi peluang, pelaburan, pekerjaan, ilmu dan kesejahteraan untuk rakyat,” katanya.
Azrul berkata, momentum pembangunan sudah ada dan perancangan sedang berjalan, justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya dapat bergerak seiring dalam usaha membawa Sabah ke arah yang lebih maju, berjaya dan sejahtera.