KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang lelaki selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Kawakaan, di sini, terjawab apabila mangsa ditemukan meninggal dunia kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, mangsa berusia 27 tahun itu ditemukan pasukan bomba pada jam 10.28 pagi ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dijalankan.
Menurutnya, operasi SAR disambung semula pada jam 8.45 pagi selepas operasi hari pertama ditangguhkan atas arahan polis pada jam 8.10 malam.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari di kawasan parit yang berhubung dengan anak sungai menggunakan kaedah water surface search.
“Pada jam 10.28 pagi, mangsa berjaya ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaan dilaporkan terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Sherriyana berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kejadian dilaporkan pada jam 4.55 petang semalam selepas sebuah Honda WR-V dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.19 petang dan pemeriksaan awal mendapati tiada mangsa berada di dalam kenderaan atau di kawasan berhampiran.
“Pemeriksaan sekitar lokasi turut dijalankan bersama pasukan PDRM sebelum operasi ditangguhkan pada jam 8.10 malam sementara menunggu petunjuk baharu,” katanya.
Katanya, seramai 28 anggota bomba daripada BBP Lintas, BBP Penampang dan Zon Kota Kinabalu terbabit dalam operasi SAR berkenaan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya