PAPAR: Lima lelaki cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan selepas tiga kenderaan bertembung dalam kemalangan di Jalan Andus, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian NG999 pada jam 7.24 pagi.
Menurutnya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 7.38 pagi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza, Isuzu D-Max dan motosikal.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Bezza membuat pusingan U sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rony berkata, terdapat lapan mangsa dalam kemalangan itu dan kesemuanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Empat lelaki berusia 36, 48, 27 dan 15 tahun yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah.
“Manakala seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal turut cedera parah,” katanya.
Beliau berkata, tiga lagi mangsa lelaki berusia 50, 36 dan 39 tahun yang menaiki Isuzu D-Max mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan EMRS Bomba, ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi ditamatkan pada jam 8.13 pagi selepas pemeriksaan dijalankan dan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.